Raw Is War Blog's

#KamiGengNajibRazak #KamiPunGengZahidHamidi

Wednesday, August 9, 2017

"Tulislah Sebuah Buku, Ceritakanlah Tentang Kisah Saya," - Prebet Adam



Penulis buku "Konfesi Prebet Adam", Syahril A Kadir baru-baru ini berkongsi kisah tentang pengalamannya bertemu dengan Prebet Adam yang mengamuk di Chow Kit dalam satu insiden yang menggemparkan negara suatu masa dahulu.

Syahril berkata, segalanya bermula apabila dia melontarkan persoalan di ruang laman Facebooknya tentang apakah benar kisah yang bertebaran selama 30 tahun tentang amukan Prebet Adam di Chow Kit adalah disebabkan adiknya dibunuh Sultan Johor.

"Keesokan harinya saya menerima mesej inbox di Facebook kira-kira jam 3 pagi yang menjelaskan bahawa Adam ada bersamanya dan sedia untuk bercerita tentang kisah sebenar apa yang berlaku.

"Sudah tentu saya terkejut. Lelaki itu kata, Adam kini hidup bergelandangan, mengutip besi buruk untuk dijual," katanya penulis meja jenayah berpengalaman itu dalam majlis diskusi buku kisah benar Prebet Adam dan Amok at Chow Kit, di Rumah Harapan Budi, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, yang dipetik dari FMT.


Bercerita lanjut, Syahril berkata, dengan bantuan kenalan Facebook itu, beliau kemudian terbang ke Pulau Pinang untuk bertemu Adam.

"Pada mulanya saya sendiri kurang pasti, benarkah ini Prebet Adam? Dulu mungkin dia diawal 20'an berbadan tegap dengan kelengkapan tentera, tapi lelaki depan saya kini kelihatan tua.

"Usianya baru 53 tahun, tapi kelihatan macam sudah 60 tahun. Keadaannya serabut, tidak terurus," membuat Syahril teragak-agak seketika untuk meneruskan niatnya.

Namun begitu, Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar menjelaskan bahawa dirinya tidak tertanggung lagi tekanan yang tergalas ditubuhnya selama 30 tahun dan terpalit dengan fitnah yang sukar diterima.

"Selama 30 tahun saya difitnah. Keluarga sendiri pun menghina saya. Masyarakat pula mencerca memaki hamun saya.

"Mereka kata saya mengamuk dulu kerana adik saya dibunuh Sultan, namun tuduhan itu sebenarnya menyimpang jauh dari kebenaran. Semua itu langsung tiada kaitan.

"Selama 30 tahun juga mereka memperkatakan tentang itu. Saya sudah tidak tahu bagaimana hendak menceritakan segalanya kepada mereka. Saya pun bukannya sihat sangat. Lambat laun, ajal saya akan tiba.

"Jadi sebelum menutup mata, saya mengharapkan agar tuan menulis tentang kisah yang sebenarnya. Tulislah sebuah buku dan ceritakanlah tentang kisah saya," kata Syahril menceritakan kata-kata Adam kepadanya pada pertama kali pertemuan.


Syahril menjelaskan bahawa bukan mudah untuk dirinya yakin dengan Adam, apatah lagi kata-kata yang terbit dari lelaki yang menagih dadah itu.

"Saya tegaskan kepada Adam, dia tidak boleh sesekali berbohong pada saya. Saya akan duduk bersamanya selama seminggu dan dia perlu ceritakan dengan terperinci kisahnya itu.

"Jadi, selama seminggu saya bersamnya. Dari situ saya menyedari bahawa tidak memadai untuk kisah ini diyakini jika hanya bergantung kepada kisah dari Adam saja. Jadi saya perlu bertemu dengan Shafee dan Ghani

"Kemudian saya dapati bahawa walaupun Adam seorang penagih dadah yang bergelandangan, pernah dirawat di Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, namun apa saja yang dia katakan adalah sama dengan apa yang diceritakan Ghani dan Shafee ," kata Syahril.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah difahamkan adalah individu penting yang menjadi peguambela Adam bagi kes amuk berkenaan dan beliau secara sukarela mengendalikan kes berkenaan tanpa sebarang bayaran, malah menyumbang wangnya untuk kes tersebut.

Manakala Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah adalah merupakan bekas pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab berunding dan berjaya memujuk Adam untuk menyerahkan diri setelah gagal dipujuk oleh pihak keselamatan negara ketika insiden itu tercetus.


Kata Syahril lagi, dia sendiri turut berdepan dengan masalah untuk menerbitkan buku berkenaan apabila beberapa buah syarikat penerbitan takut untuk menerbitkan naskhah kontroversi yang menggegarkan negara itu.

"Saya ada bertemu dengan beberapa penerbit buku, tapi mereka semua tidak bersedia untuk menerbitkan buku itu. Mungkin mereka takut kepada kesan-kesannya dan kerana itu mereka enggan," ujar penulis berpengalaman itu.

Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan pembikinan buku berkenaan menjelaskan bahawa bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat yang terpedaya dengan propaganda yang tersebar selama lebih 30 tahun.

Namun rasa tanggungjawab dan keberanian menegakkan kebenaran telah membuat penulis buku berkenaan, Syahril A Kadir untuk membongkar kisah sebenar dan memperbetulkan persepsi semberono tanpa bukti yang selama ini menjadi "taboo" di kalangan masyarakat.

"Ini adalah fitnah yang berlaku selama 30 tahun," tegas bekas wartawan meja jenayah yang terkenal itu tanpa berniat prejudis terhadap mana-mana pihak.

Untuk mengetahui lanjut kisah sebenar tentang insiden amukan Prebet Adam secara jelas dan berfakta, para pembaca boleh mendapatkan buku "Konfesi Prebet Adam" (Versi Bahasa Melayu) atau "Amok At Chow Kit", boleh menghubungi Dubook Press (klik di sini).



Share:

0 comments:

Post a Comment

Categories